Pasukan Skuasy Lelaki Malaysia raih pingat perak
PAKISTAN menafikan usaha Malaysia menyapu bersih semua
pingat emas dalam acara skuasy pada temasya Sukan Asia ke-16 Guangzhou apabila
negara itu memenangi emas acara berpasukan lelaki petang tadi.
Pakistan menumpaskan Malaysia 2-0 pada perlawanan akhir di
Gimnasium Bandar Sukan Asia di sini setelah Farhan Mehboob menewaskan Ong Beng
Hee 11-4, 11-4, 11-7 dalam masa 23 minit.
Pemain muda, Aamir Atlas Khan, 20, melakukan kejutan apabila
menundukkan pemenang emas perseorangan, Mohd Azlan Iskandar 14-12, 15-13, 11-4,
dalam masa 42 minit untuk mengesahkan pingat emas kedua Pakistan.
“Malangnya, kami terlepas pingat emas apabila sudah
menghampirinya. Kami harap sekiranya Azlan menang, kami yakin Mohd Nafiizwan
Mohd Adnan boleh menewaskan pemain nombor tiga Pakistan.
“Saya turun hari ini atas alasan teknikal. Saya mengalami
keracunan makanan sejajak beberapa hari lalu dan sebab itu saya tidak turun
semasa menentang India dalam perlawanan kumpulan dan Hong Kong pada saingan
separuh akhir,” kata Beng Hee, selaku ketua pasukan.
Mohd Azlan berkata, beliau berasa amat kecewa kerana gagal
membantu menyumbang pingat emas untuk negara.
“Tiada apa-apa yang boleh saya katakan masa ini. Saya tahu
saya perlu memang supaya mencerahkan peluang emas tetapi Aamir memberi
persembahan baik sekali,” katanya.
India dan Hong Kong masing-masing memperoleh pingat gangsa
selepas tewas dalam separuh akhir.