Friday, January 25, 2013

Masyarakat India & Dunia Sukan

USIA bukannya satu halangan ataupun alasan untuk mara ke depan. Sebaliknya semangat perjuangan yang kental, mantap, pengorbanan dan dedikasi yang kuat demi negara merupakan antara faktor penentu kejayaan atlet negara meraih pingat emas di Sukan Asia di Guangzhou baru-baru ini.
Sebagai penulis, penonton ataupun peminat memang agak mudah untuk kita melontarkan kritikan terhadap atlet negara apabila mereka gagal meraih sebarang pingat ataupun mendakap sebarang kejayaan ketika seluruh negara menaruh harapan terhadap mereka tetapi pernahkah kita semua menyelami perasaan mereka ketika berada di gelanggang?
Agak sukar juga untuk menembusi “tekanan mental dan fizikal” ketika berada di arena pertandingan tetapi iltizam yang kuat mampu menembusi segala-galanya. Itulah yang dikatakan semangat “Malaysia Boleh”.
Apapun tahniah kepada semua atlet negara yang berjaya membawa cabaran negara pada Sukan Asia ke XVI di China baru-baru ini. Menang dan kalah sudah menjadi adat perjuangan dalam dunia sukan.
Apabila bercakap mengenai pembangunan arena sukan ini, penulis cuma terkilan melihat atlet yang sebangsa dengan penulis yang pernah mendominasi sukan olahraga, hoki, bolasepak, golf dan beberapa acara sukan lain suatu ketika dulu kini semakin tenggelam dan hilang terus dari kancah sukan dan olahraga negara.
Apa sebenarnya yang sudah jadi dengan mereka? Sudah tentulah hampir separuh daripada mereka sudah bersara tetapi bagaimana dengan atlet pelapis dikalangan mereka? Apakah masyarakat India semakin terpisah dari arena sukan negara? Memang pelik tapi benar kerana bidang sukan amat dekat di hati masyarakat India sejak dulu lagi.
Sudah tentu ramai di kalangan kita masih tidak lupa lagi nama-nama besar seperti ratu pecut negara G. Shanti, atlet jarak jauh negara M. Ramachandran, S.Muthiah, P. Jayanthi, Munusamy, Josephine Mary, jaguh lumba jalan kaki negara Saravanan dan ramai lagi di kalangan mereka yang pernah mengegarkan acara trek dan balapan.
Sebelum kemunculan mereka, jaguh lumba jalan kaki negara V. Subramaniam, V. Anggamah, Sivapragsam, B. Rajkumar dan V. Rajoo antara nama-nama yang pernah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa walaupun ketika itu tak banyak hadiah ataupun insentif kemenangan yang diberikan.
Sejarah sukan negara turut membariskan ramai nama besar seperti Datuk Dr. M. Jagathesan yang pernah mencacat sejarah menjadi atlet terpantas Asia di Sukan Asia 1966 di Bangkok dalam acara 100 meter, pendaki Everest Datuk N. Magendran dan Datuk N. Mohandass, Datuk Dr. M. Rajamani yang pernah menerima jolokan “atlet terpantas wanita Asia” diatas pencapaianya di Sukan Asia di Bangkok pada tahun 1966 dalam acara 400 meter, Datuk M. Chandran yang pernah membimbing skuad bola sepak negara ke sukan Olimpik di Munich pada tahun 1972, Tan Sri P. Alagendara ( Hoki), Datuk Punch Gunalan (Bandminton), mendiang R. Arumugam (bolasepak) dan beberapa orang lagi yang tidak sempat penulis nak senaraikan nama mereka satu per satu tetapi mereka adalah wira-wira dan antara tunggak utama di sebalik kejayaan, kegemilangan dan kecemerlangan idustri sukan negara.
Namun sejak kebelakangan ini penyertaan masyarakat India dalam lapangan sukan kebangsaan dan antarabangsa semakin menyepi khususnya di Sukan Sea, Asia dan Komanwel. Apakah minat bangsaku yang pernah menguasai beberapa acara sukan di zaman 60an, 70an ,80an dan 90an kini semakin malap ataupun ada sebab-sebab lain?
Kementerian Belia Dan Sukan serta badan-badan bukan kerajaan serta parti-parti politik yang telah membentuk biro sukan seharusnya bekerjasama antara satu sama lain untuk mengkaji kemerosotan kemunculan atlet berbangsa India dalam skuad negara sekarang.
Janganlah asyik betengkar dan bermusuhan sesama bangsa sendiri dalam lapangan politik sehingga mereka melupakan aspek pembangunan sukan yang dapat mencetuskan semangat perpaduan antara satu sama lain.
Bidang sukan juga merupakan satu karier yang semakin “bernilai dan berharga” sekiranya berjaya dimanfatkan dengan sebaik-baiknya. Sudah tiba masanya bidang sukan ini jadikan sebagai satu karier profesional dan bukanya semi profesional atau amatur sepertimana dahulu.
Untuk itu, pihak Kementerian dan agensi-agensi yang terbabit juga perlu memberi tumpuan dalam aspek membangunkan sukan sebagai satu kerjaya untuk atlet, skim persaraan yang lebih terjamin, peluang pendidikan yang lebih terbuka, ganjaran dan skim gaji yang berpatutan, soal hal ehwal kebajikan dan sebagainya.
Berbalik kepada cerita penglibatan masyarakat India dalam lapangan sukan, penulis tetap bangga dan terharu dengan semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh atlet karate negara R. Puvaneswaran yang berjaya memenangi pingat emas dalam cara “Kumite 55 kilogram” di Sukan Asia baru-baru ini.
Di sebalik kebimbangan terhadap penglibatan masyarakat India yang semakin berkurangan dalam medan sukan negara, Puvaneswaran muncul sebagai wira dalam usia yang sudah dianggap lanjut dalam dunia sukan.
Walaupun usianya sudah mencecah 36 tahun tetapi tekad, azam dan semangat perjuangannya yang kental berjaya mengatasi segala-galanya. Kemenangan Puvaneswaran itu sekaligus mengubati kekecewaannya di Doha empat tahu lalu, apabila pulang dengan hanya pingat gangsa dan mengulangi pencapaian pingat emas pada Sukan Asia Busan 2002.
Apabila kita bercakap mengenai pembangunan sukan karate negara, satu nama yang perlu kita “tabik” ialah T. Ponniah yang pernah menjadi pengurus pasukan, ketua jurulatih dan pernah memegang banyak jawatan lagi dalam bidang sukan tersebut sehingga berjaya mencipta dan melahirkan ramai atlet karate negara di peringkat Sukan Sea dan Sukan Asia.
Malah ketiga-tiga anaknya - P. Arivalagan(kini ketua jurulatih skuad karate negara), P. Thennavan dan P. Thiagu telah melakar dan memenangi banyak pingat emas dalam Sukan Sea dan Asia dalam tempoh 10 tahun yang lepas untuk negara. Ketiga-tiga mereka merupakan sandaran dan harapan utama negara sehingga menjadi antara atlet yang digeruni oleh peserta lain di rantau Asia.
Malah seorang sahabat penulis berkata, dibawah kepimpinan T. Ponniah, skuad karate telah berjaya memenangi hampir 100 pingat emas dalam pelbagai kejohanan antarabangsa dalam tempoh 10 tahun yang lepas.
Jasa T. Ponniah tetap dikenang tetapi pihak kerajaan dan kementerian juga perlu mengiktiraf sumbangan, peranan dan pengorbanannya dan keluarganya untuk negara.
Pengurniaan pingat bergelar “Datuk” sepatutnya sudah lama dianugerahkan kepadanya. Adakah pihak kementerian terlepas pandang ataupun masih mahu menunggu? Tapi sampai bila? Tak kisahlah sesiapa pun tapi, jangan sampai terlambat sehingga seseorang itu naik muak dan tidak ada di dunia ini lagi barulah jasanya hendak diiktiraf.
Budaya kita mengajar agar kita sentiasa mengingati dan mengenang jasa dan bakti orang lain.

No comments:

Post a Comment